BERITA SEMASABISNES & EKONOMIDALAM NEGERI

PLATS suntik semangat baharu, usahawan mikro raih peningkatan jualan sehingga 50 peratus

SHAH ALAM – Penyertaan aktif dalam Platform Selangor (PLATS) nyata menjadi pemangkin kejayaan kepada usahawan mikro apabila peningkatan pendapatan sehingga 50 peratus dicatat hasil penglibatan dalam inisiatif tersebut.

Pengasas Kopi Opu, Kartini Ramli, 43, berkata, penyertaan dalam program U-PLATS di bawah PLATS sejak tahun 2023 merupakan titik tolak kepada perkembangan perniagaannya yang kini mencatat jualan mencecah RM16,000 sebulan.

“Saya memang aktif sertai semua program yang dianjurkan. Bila ada kelas, saya hadir. Bila ada jemputan ke acara, saya turun padang. Dalam kelas pula, banyak yang saya pelajari dari segi pemasaran, penyediaan sebelum menyertai acara, semuanya sangat membantu.

“Sejak awal 2024, hasil jualan saya meningkat sekitar 50 peratus. Dulu saya tiada pengetahuan tentang perniagaan, tapi melalui kelas-kelas percuma yang ditawarkan PLATS, saya tahu cara tarik pelanggan dan urus perniagaan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas acara Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) yang turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini, malam tadi.

Baca juga : Lebih 88,000 peniaga mikro berdaftar bukti kejayaan inisiatif PLATS

Selain itu, Kartini yang turut memenangi Anugerah Utama Usahawan Mikro berkongsi perancangannya untuk mengembangkan perniagaan kopi yang diusahakan di Dataran Shah Alam, dengan menawarkan sistem francais dalam masa terdekat.

“Sekarang saya fokus kukuhkan HQ dahulu. Bila dah kukuh, saya akan buka peluang francais kepada orang ramai. Itu pelan saya seterusnya,” jelas beliau.

Mengulas mengenai sokongan kerajaan negeri, Kartini merakamkan penghargaan atas bantuan yang diberikan kepada usahawan mikro sepertinya.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak bantu kami. Kelas percuma, bimbingan, peluang sertai acara semuanya membuka banyak pintu rezeki,” ujarnya.

PLATS
Penerima Anugerah Utama Usahawan Mikro Komuniti Muda, Chan Seong Ween. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, pengasas Fruit Addicts, Chan Seong Ween, 32, penerima Anugerah Utama Usahawan Mikro Komuniti Muda pula menyifatkan anugerah tersebut sebagai suntikan semangat baharu dalam perjalanan perniagaannya.

“Saya memang tak sangka, terkejut bila nama diumumkan. Ini anugerah pertama saya sepanjang sembilan tahun berniaga. Ia memberi motivasi untuk saya terus melangkah lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.

Beliau yang mengusahakan gerai jus buah-buahan kini mempunyai tujuh cawangan termasuk di Subang Jaya, Rimbayu dan Sri Petaling dengan kekuatan lebih 30 orang kakitangan.

Mengulas mengenai PLATS, Seong Ween berkata, ia platform yang sangat membantu usahawan kecil melalui penyediaan kelas, peluang sertai acara besar, serta komuniti yang memudahkan perkongsian ilmu dan maklumat.

“Kami dulu tak tahu buat pemasaran atas talian. Lepas sertai kelas, saya tahu teknik buat ‘posting’, pilih kata kunci yang betul, edit video. Itu semua naikkan trafik pelanggan,” ujarnya.

Beliau turut merancang untuk mengembangkan jenama Fruit Addicts kepada 100 cawangan menjelang tahun 2030.

PLATS merupakan inisiatif digitalisasi perniagaan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2020 untuk membantu penjaja kecil, peniaga mikro dan usahawan tempatan menyesuaikan diri dengan ekosistem ekonomi digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button