Maju Usahawan MADANI terap AI lonjak daya saing usahawan
SUNGAI BULOH – Lebih 100 usahawan tempatan menyertai Program Maju Usahawan MADANI dengan tujuan memperkukuh daya saing melalui latihan, bimbingan serta penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, program berkenaan merupakan inisiatif penting dalam usaha melahirkan usahawan berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di pasaran tempatan serta antarabangsa.
“Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 100 usahawan daripada Parlimen Sungai Buloh.
“Inisiatif ini sangat penting dalam menyediakan latihan asas dan lanjutan dalam bidang keusahawanan.
“Peserta juga diperkenalkan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat baharu untuk mengembangkan pasaran, meningkatkan produktiviti serta menambah nilai daya saing usahawan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menyempurnakan Program Maju Usahawan MADANI anjuran Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) di bawah SME Bank di sini, semalam.
Sebagai rekod, Sejumlah 2,257 usahawan dari seluruh negara menerima manfaat menerusi penyertaan dalam program Maju Usahawan MADANI 2025 kelolaan CEDAR setakat ini.
Dalam pada itu, Ramanan yakin, dengan ilmu, bimbingan serta sokongan ekosistem keusahawanan yang kukuh, usahawan Sungai Buloh mampu menembusi bukan sahaja pasaran tempatan, malah hingga ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Katanya, inilah semangat sebenar yang dipupuk melalui agenda Malaysia MADANI iaitu memastikan setiap usahawan mendapat peluang adil untuk berjaya tanpa mengira latar belakang.
“Saya amat yakin, dengan semangat kebersamaan dan sokongan padu Kerajaan MADANI, kita dapat melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan, inovatif serta mampu menjadi pencetus kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang hadir pada hari ini. Jadikanlah program ini sebagai titik tolak untuk memperkukuh perniagaan masing-masing.
“Ingatlah, kejayaan tidak hadir dalam sekelip mata, tetapi melalui usaha gigih, keberanian mencuba perkara baharu dan kesungguhan untuk terus belajar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








