BERITA SEMASASUKAN

FAM gantung seumur hidup Yazan, dilarang terlibat aktiviti bola sepak di Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas pemain Selangor, Yazan Mousa Mahmoud Alarab, digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia susulan tindakannya yang menyepak dan meludah pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, 24 September lalu.

Keputusan itu diumumkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan, hari ini. 


Yazan didapati bersalah kerana melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM susulan tindakannya menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri serta meludah pengadil selepas dilayangkan kad merah sewaktu perlawanan Selangor menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Dalam perlawanan yang sama, dia juga telah meluru ke arah pengadil perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata kepada pengadil perlawanan dan apabila pengadil memusingkan badan untuk pergi, Yazan telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada.

“Hukuman yang dikenakan terhadap pemain ini bagi pelanggaran-pelanggaran di atas secara keseluruhannya adalah dihukum penggantungan seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” kata jawatankuasa berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Marshall SFC, Jayabalan Muniandy menerima padah paling besar kerana bukan sahaja didenda RM20,000 malah turut digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak di semua peringkat selama dua tahun berkuat kuasa 20 November 2023 hingga 19 November 2025.

Dia didapati melakukan kesalahan seperti membaling botol ke arah pengadil perlawanan, menghalau kumpulan pengadil dari bilik persalinan, melakukan provokasi dan memarahi kumpulan pengadil dengan kata-kata kesat dan lucah.

Dia juga gagal gagal menjalankan tanggungjawabnya apabila enggan menyediakan kawalan keselamatan kepada kumpulan pengadil semasa mereka bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan apabila diarahkan berbuat demikian oleh komisioner perlawanan.

Selain itu, beberapa pegawai pasukan SFC turut berdepan denda bermula RM5,000 hingga RM10,000 selain digantung sehingga 10 perlawanan susulan insiden yang berlaku pada perlawanan sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button