BERITA SEMASASUKAN

AS sepatutnya disingkir sebagai tuan rumah Piala Dunia – Iran

TEHRAN – Iran menegaskan tiada mana-mana pihak berhak menyingkirkan pasukan kebangsaan negara itu daripada kejohanan Piala Dunia FIFA tahun ini, susulan kenyataan Donald Trump yang membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka sekiranya beraksi di Amerika Syarikat (AS).

Menerusi kenyataan di media sosial semalam, pasukan kebangsaan Iran mempersoalkan kelayakan AS sebagai tuan rumah bersama kejohanan berkenaan jika tidak mampu menjamin keselamatan semua pasukan yang mengambil bahagian.

Pasukan Iran menegaskan kejohanan Piala Dunia merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan oleh FIFA dan bukannya dikendalikan oleh mana-mana individu atau negara tertentu.

Menurut kenyataan itu, Iran layak beraksi di pentas dunia berkenaan hasil prestasi cemerlang serta kemenangan penting yang dicapai oleh para pemain sepanjang kempen kelayakan.

“Sudah tentu tiada siapa boleh menyingkirkan pasukan kebangsaan Iran daripada Piala Dunia. Satu-satunya negara yang boleh disingkirkan ialah negara yang hanya memegang gelaran tuan rumah tetapi gagal menyediakan jaminan keselamatan kepada pasukan yang bertanding,” jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu, Trump memaklumkan kepada presiden FIFA, Gianni Infantino bahawa pemain Iran dialu-alukan untuk menyertai kejohanan berprestij tersebut meskipun konflik di Asia Barat masih berlarutan.

“Pasukan bola sepak Iran dialu-alukan ke Piala Dunia, namun saya tidak fikir adalah sesuai untuk mereka berada di sana demi keselamatan dan nyawa mereka sendiri,” kata Trump menerusi platform media sosial Truth Social.

Ketegangan berhubung penyertaan Iran tercetus selepas serangan gabungan AS dan Israel pada 28 Februari lalu, yang menimbulkan persoalan mengenai keselamatan pasukan itu dalam kejohanan berkenaan.

Edisi kali ini Piala Dunia dijadualkan berlangsung di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sementara itu, Trump dalam kenyataan susulan menegaskan kejohanan tersebut akan tetap berlangsung dalam keadaan selamat bagi semua pemain dan penyokong.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button