SUKAN

RM20,000 menanti setiap pasukan e-sukan raih emas Sukan Asia

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menawarkan ganjaran RM20,000 kepada setiap pasukan e-sukan kebangsaan yang berjaya membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Presiden MESF, Naim Al-Amin Saharudin berkata, insentif berkenaan diberikan sebagai suntikan semangat kepada atlet e-sukan negara yang akan beraksi di temasya berkenaan.

“MESF akan menawarkan ganjaran RM20,000 kepada pasukan MLBB, serta mana-mana pasukan e-sukan lain yang memenangi pingat emas untuk negara.

“Marilah kita terus menyokong dan memberi semangat kepada Team Malaysia. Semoga berjaya kepada anda semua,” katanya pada hari ketiga Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia Professional League (MPL MY), hari ini.

Malaysia akan bertanding dalam sembilan daripada 11 acara e-sukan di Sukan Asia Aichi-Nagoya, dengan MESF menyasarkan sekurang-kurangnya lima pingat.

Antara acara yang dikenal pasti sebagai prospek utama negara ialah MLBB, Honor of Kings (HOK), E-Racing, E-Football dan Identity V.

Malaysia turut akan diwakili dalam acara PUBG Mobile dengan pemilihan pemain dibuat berdasarkan merit dan prestasi dalam pertandingan profesional.

Kontinjen e-sukan kebangsaan membabitkan 44 atlet dan lapan jurulatih dengan hampir keseluruhan skuad terdiri daripada muka baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Naim turut memohon maaf kepada penyokong susulan kontroversi membabitkan pemain veteran MLBB, Zul Hisham ‘Xorn’ Noor yang tidak disenaraikan dalam barisan akhir ke Sukan Asia.

Xorn yang pada awalnya disenaraikan sebagai pemain simpanan memainkan peranan penting ketika Malaysia menewaskan Indonesia 2-1 dalam kelayakan Asia Tenggara.

Bagaimanapun, beliau kemudian mendedahkan mengetahui mengenai penyingkirannya daripada skuad menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Naim, beliau kemudian bertemu Xorn bagi menjelaskan salah faham yang berlaku berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, MPL Malaysia Musim 18 akan berehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada Sukan Asia sebelum disambung semula pada 8 Oktober ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button