BERITA SEMASA

DBKL turunkan caj Bazar Deepavali kepada maksimum RM400

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan caj penyertaan Bazar Deepavali 2026 sebanyak 85 peratus kepada maksimum RM400 termasuk cagaran berbanding RM2,626 yang dikenakan tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kadar baharu itu menyamai caj yang dikenakan bagi Bazar Ramadan selain tempoh operasi bazar dipanjangkan daripada 21 hari kepada 30 hari.

Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi mengurangkan kos perniagaan yang ditanggung penjaja serta memberi peluang kepada mereka menjana pendapatan dalam tempoh yang lebih panjang.

“Fokus kita mudah, kita mahu mengurangkan kos untuk penjaja dan memberi tempoh berniaga yang lebih panjang kepada mereka.

“Selain itu, jumlah petak yang disediakan juga ditambah bagi memberi lebih banyak peluang kepada peniaga,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya hari ini.

Hannah berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan peniaga kecil dapat menjalankan perniagaan dalam persekitaran yang lebih kondusif dan berdaya saing.

Beliau berkata, penurunan kadar caj berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai peniaga yang ingin mengambil bahagian dalam Bazar Deepavali tahun ini.

Sebelum itu, DBKL turut menurunkan kadar sewa tapak Bazar Ramadan 2026 kepada RM400 sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan beban kos perniagaan di Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button