RM2.24 juta diperuntuk naik taraf PPR Wangsa Sari, bina jambatan baharu
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM2.24 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Wangsa Maju, termasuk pembinaan jambatan baharu bernilai RM200,000 yang dijangka meningkatkan keselamatan dan kemudahan akses lebih 1,000 penduduk di kawasan itu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, peruntukan tersebut diumumkan sempena lawatan turun padang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ke PPR berkenaan hari ini.
Lawatan itu bertujuan meninjau pelaksanaan Program Penyelenggaraan Perumahan Awam DBKL selain melihat cadangan penambahbaikan kemudahan komuniti di kawasan tersebut.
“PPR Wangsa Sari yang dibina pada 2008 mempunyai sebuah blok setinggi 21 tingkat merangkumi 272 unit kediaman dengan kira-kira 1,061 penduduk. Daripada jumlah itu, 173 unit merupakan unit jualan manakala 99 unit lagi adalah unit sewaan.
“Daripada keseluruhan peruntukan yang disediakan, RM1.10 juta diperuntukkan bagi kerja mengecat bangunan, RM904,000 untuk penggantian Sub-Main Cable dan Main Switch Board, RM136,000 bagi kerja turapan jalan serta RM101,000 untuk menaik taraf sistem keselamatan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut DBKL, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan memperbaiki keadaan fizikal bangunan, memperkukuh aspek keselamatan dan memastikan kemudahan asas serta persekitaran kediaman berada pada tahap yang lebih baik untuk kegunaan penduduk.
“Dalam masa sama, sebuah jambatan baharu merentasi rizab Sungai Bonus akan dibina dengan kos anggaran RM200,000 bagi menyediakan laluan lebih selamat kepada penduduk PPR Wangsa Sari.
“Projek yang dijadual dilaksanakan antara Oktober hingga Disember 2026 itu bakal memudahkan akses ke Padang Wangsa Sari selain membantu mengurangkan risiko keselamatan di Jalan 2/27A.
“Kemudahan tersebut turut dijangka menggalakkan aktiviti riadah dan interaksi sosial dalam kalangan komuniti setempat,” tambahnya.
Pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen DBKL untuk memastikan perumahan awam bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, malah menawarkan persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif kepada penduduk.
Selain itu, usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan perumahan awam akan terus dipergiat menerusi projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan warga kota selaras dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya untuk semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








