BERITA SEMASA

Petron sahkan RON95 di stesen utara ikut spesifikasi, tiada pencemaran dikesan

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap dakwaan pencemaran petrol RON95 di beberapa stesen minyak Petron di wilayah utara selesai dijalankan dengan hasil pemeriksaan mendapati bahan api berkenaan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Petron Malaysia dalam kenyataan berkata tiada sebarang bukti pencemaran dikesan sepanjang siasatan, termasuk dakwaan pencemaran air dalam bahan api.

“Dan tiada bukti pencemaran, termasuk pencemaran air, dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut syarikat berkenaan, pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap aspek kualiti serta keselamatan produk yang dibekalkan kepada pengguna di seluruh rangkaian stesen minyak Petron.

“Kami akan terus memastikan produk kami kekal berkualiti dan selamat di semua stesen minyak Petron. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan anda,” tambahnya.

Siasatan berkenaan dijalankan selepas pihak syarikat menerima perhatian terhadap dakwaan berlaku pencemaran bahan api di beberapa stesen minyak kendaliannya di wilayah utara.

Isu tersebut mula menjadi perhatian susulan perkongsian pengguna di media sosial yang mendakwa berlaku masalah berkaitan kualiti petrol RON95 yang diperoleh dari beberapa stesen Petron.

Dakwaan berkenaan turut tersebar menerusi platform Threads sebelum Petron Malaysia mengambil tindakan menjalankan siasatan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara itu.

Dengan selesainya siasatan, Petron Malaysia menegaskan bahawa hasil pemeriksaan tidak menemukan bukti yang menunjukkan berlakunya pencemaran terhadap petrol RON95 di stesen terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button