Kerajaan masih perhalusi mekanisme penyasaran subsidi RON95
Langkah diambil supaya tidak bebankan rakyat
KUALA LUMPUR – Kerajaan masih memperhalusi mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan pandangan bahawa dasar-dasar besar yang melibatkan kesejahteraan rakyat perlu dilaksanakan dengan teliti dan tidak memberi kesan negatif.
Tambahnya, pandangan itu disuarakan ketika pemukiman Ahli Parlimen di Port Dickson, baru-baru ini.
“Setelah pelaksanaan beberapa dasar sebelum ini, sama ada penyasaran semula subsidi diesel dan beberapa ikhtiar yang lain, kita lihat perlu ada sedikit penelitian, mekanisme penyaluran itu dan memastikan tidak ada kesan ‘knock-on effect’ yang negatif.
“Maka kalau kita lihat dalam isu peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga, ada beberapa perkara yang telah diteliti setelah diumumkan, maka beberapa penyesuaian dilaksana,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Kata Fahmi seterusnya, prinsip yang sama turut akan diguna pakai dalam isu RON95 bagi memastikan tiada kesan negatif kepada majoriti rakyat.
Meskipun sebelum ini garis masa pelaksanaan subsidi telah dibayangkan, namun kerajaan memilih untuk menangguhkannya bagi memastikan tidak berlaku kesan rantaian yang membebankan rakyat.
Tambahnya lagi, kerajaan komited memastikan sebarang perubahan dasar ekonomi tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa sistem sokongan dan penyampaian yang bersifat inklusif serta tersasar tepat kepada kumpulan sasar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








