Kerajaan perkukuh industri perkayuan, fokus produk bernilai tinggi
AMPANG – Kerajaan akan terus memperkukuh industri perkayuan negara dengan memberi tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tinggi, penggunaan teknologi, reka bentuk serta pembangunan jenama Malaysia yang mampu bersaing di pasaran global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha itu penting bagi memastikan masa depan industri berkenaan tidak hanya bergantung kepada jumlah pengeluaran, sebaliknya berkembang daripada pengeluar bahan dan produk kepada pencipta produk bernilai tinggi serta pemilik jenama.
“Industri perkayuan merupakan antara sektor penting dalam ekosistem agrikomoditi negara dengan produk kayu Malaysia telah menembusi pasaran utama termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China, Eropah, Timur Tengah, Australia dan negara-negara Asia.
“Menerusi agensi di bawah kementerian, termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), kerajaan akan terus memperkukuh industri berkenaan,” kata Noraini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Merdekapenter 2026 bertempat di Green Factory, di sini hari ini.
Beliau seterusnya berkata, tumpuan turut diberikan kepada usaha meningkatkan produktiviti, membangunkan modal insan, memperluas pasaran serta memperkukuh amalan kelestarian dalam industri berkenaan.
“Nilai produk kayu, menurut kerajaan, bukan hanya terletak pada bahan mentah, sebaliknya dapat dipertingkat menerusi kemahiran, idea, reka bentuk dan nilai cerita yang dibawa bersama produk,” katanya lagi.
Mengenai program pada hari ini, Norani berkata, Merdekapenter mempunyai kekuatan tersendiri kerana memberi peluang kepada masyarakat melihat dan memahami dunia pertukangan kayu serta amalan kelestarian secara lebih dekat.
“Pendedahan sedemikian penting bagi membuka perspektif generasi muda bahawa industri perkayuan bukan sekadar pekerjaan tradisional, sebaliknya sektor yang terus berkembang menerusi teknologi, kreativiti dan kemahiran baharu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








