Tribunal Antibuli 2026 dilancar secara rasmi
KUALA LUMPUR – Tribunal Antibuli 2026 yang dilancarkan secara rasmi hari ini serentak dengan penguatkuasaan rasmi Akta Antibuli 2026 [Akta 876] bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keperluan kepada undang-undang khusus itu semakin mendesak susulan lebih 14,000 kes buli dilaporkan di sekolah, selain kesan serius terhadap kesejahteraan mental dan emosi mangsa.
“Tribunal Antibuli diwujudkan sebagai platform akses kepada keadilan yang lebih mudah, cepat dan mesra kanak-kanak. Tribunal itu mempunyai bidang kuasa sivil untuk menangani pertikaian berkaitan buli secara lebih responsif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Tribunal bagi Antibuli, di sini hari ini.
Ibu pejabat tribunal akan beroperasi di Kuala Lumpur, namun prosiding boleh dijalankan di seluruh negara termasuk di sekolah, pejabat agensi berkaitan dan secara dalam talian bagi memudahkan akses kepada mangsa serta keluarga.
“Tribunal ini akan diterajui seorang presiden, timbalan presiden dan 56 anggota yang terdiri daripada pakar kanak-kanak, kesihatan mental, perundangan serta bidang berkaitan.
“Sekolah dan institusi pendidikan kekal sebagai barisan hadapan dalam menangani isu buli, manakala tribunal berperanan sebagai saluran penyelesaian apabila aduan tidak dapat diselesaikan dengan sewajarnya di peringkat institusi,” katanya.
Selain mengeluarkan perintah pampasan atau permohonan maaf, Azalina berkata, tribunal juga boleh mengarahkan pelaku mengikuti program pemulihan bagi memutuskan kitaran buli dan mengelakkan kejadian berulang.
“Buat permulaan, Akta Anti Buli 2026 terpakai kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah, namun kerajaan akan terus menilai keperluan untuk memperluaskan skop pelaksanaannya pada masa hadapan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















