BERITA SEMASA

Harga RON95 bersubsidi hanya untuk rakyat Malaysia – PM Anwar

MUAR – Harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter yang diumumkan baru-baru ini adalah khusus buat rakyat Malaysia, manakala warga asing perlu membayar harga bahan api tersebut mengikut harga pasaran semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, langkah sedemikian penting bagi memastikan subsidi kerajaan yang besar hanya dinikmati oleh rakyat tempatan, selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang mengutamakan keadilan sosial.

“Minyak petrol RON95 untuk rakyat Malaysia, kita jual RM1.99. Tetapi, untuk warga asing dan pelancong termasuk dari Singapura, mereka akan bayar harga pasaran, RM2.50 atau RM2.60 seliter.

“Ini bukan diskriminasi, tetapi dasar negara berdaulat yang menjaga rakyatnya,” kata Perdana Menteri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Julina Johan.

Beliau turut berkata, penyasaran subsidi petrol itu dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan negara yang selama ini turut dinikmati oleh warga asing yang tidak membayar cukai atau menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button