BERITA SEMASAPMX

Pengajaran modul hadis penting bagi sejahterakan kestabilan dan keharmonian masyarakat – PM Anwar

Hanya diwajibkan bagi orang Islam, orang bukan Islam tidak perlu bimbang

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat bukan Islam di Malaysia memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Beliau berkata, pelaksanaan ini berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, khususnya pada masa depan.

“Pengajaran 40 hadis ulama itu sebagai asas untuk orang Islam terutamanya anak muda, ia penting bagi mereka kuasai dan fahami Islam, jadi jangan salah faham sebab kita bukan paksa (murid) bukan Islam.

“Keduanya, kalau ilmu setakat yang ada sekarang, jadi orang ingat tindakan maki hamun, cerca dan fitnah itu dianggap sebagai sebahagian daripada Islam. Sebab itu penyelesaian adalah mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada al-Quran dan kupasan ulama muktabar,” kata Anwar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Anwar pada masa yang sama turut berharap isu berkenaan tidak lagi diungkit khususnya oleh wakil-wakil masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Saya harap dengan penjelasan ini tidak akan berbangkit kecurigaan dalam sistem pendidikan kita. Sebahagian tidak suka Islam diajar, sebahagian lagi gunakan Islam tetapi tidak dengan dasar ilmu.

“Oleh itu, kita kena cari jalan sebenar, iaitu untuk beri kefahaman Islam kepada orang Islam dan tidak paksa sesiapa (bukan Islam),” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button