BERITA SEMASA

PM arah MARA percepat pindaan akta perkukuh tadbir urus

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya segera mengemukakan draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat bagi memperkukuh tadbir urus serta peranan agensi itu dalam pembangunan Bumiputera.

Beliau berkata, penyediaan draf berkenaan tidak wajar dilengah-lengahkan dan perlu disiapkan dalam tempoh singkat.

“TPM arahkan supaya siap sebelum akhir tahun, tetapi saya tidak mahu tunggu terlalu lama.

“Berikan draf kepada saya dalam tempoh tiga bulan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mahu pindaan akta itu disiapkan sebelum hujung tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum itu memaklumkan Akta MARA 1966 akan dipinda bagi menambah baik aspek tadbir urus agensi berkenaan.

Menurut beliau, draf pindaan tersebut telah disiapkan dan kini berada pada peringkat sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh.

Langkah pindaan akta itu dilihat penting dalam memastikan MARA terus relevan serta berupaya memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera selari dengan keperluan semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button