BERITA SEMASAPMX

Peranan Malaysia damaikan Thailand-Kemboja terima pujian

KUALA LUMPUR – Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempromosikan keamanan serantau susulan konflik antara Thailand dan Kemboja menerima reaksi positif
daripada rakyat Kemboja di media sosial.

Hantaran beliau di Facebook yang mengalu-alukan gencatan senjata antara kedua-dua negara itu dihujani ucapan terima kasih, sekali gus mencerminkan penghargaan rakyat Kemboja terhadap peranan aktif Malaysia dalam menyokong usaha pendamaian.

Pengguna Facebook, Sovi Ra, dalam komennya menyatakan penghargaan rakyat Kemboja terhadap peranan Anwar dan Malaysia dalam usaha gencatan senjata.

“Rakyat Kemboja sangat berterima kasih atas kerjasama dan usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam setiap gencatan senjata. Kami mendoakan yang terbaik untuk anda dan negara anda,” komennya di hantaran tersebut.

Sementara itu, pengguna Facebook Teng Rithy pula memuji penekanan terhadap kawalan diri, perlindungan orang awam serta kepentingan perpaduan ASEAN dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Anwar yang menyokong gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand. Penekanan jelas terhadap kawalan diri, perlindungan orang awam dan perpaduan ASEAN menunjukkan komitmen mendalam terhadap keamanan dan kestabilan,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyambut baik gencatan senjata serta-merta antara Kemboja dan Thailand yang berkuat kuasa pada pukul 12 tengah hari semalam.

Beliau berkata, keputusan untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan pasukan di kedudukan masing-masing mencerminkan pengiktirafan bersama terhadap keperluan mengawal diri, khususnya demi kepentingan orang awam.

Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta berkuat kuasa tengah hari waktu tempatan pada Sabtu, sekali gus menamatkan konflik yang kembali memuncak sejak 7 Disember lalu.

Menteri pertahanan kedua-dua negara menandatangani Kenyataan Bersama Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ketiga pada pagi semalam, iaitu hari ketiga mesyuarat berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button