Enggan teruskan perlawanan, ISTAF bawa kes libatkan Thailand ke badan disiplin
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) telah membawa kes melibatkan pasukan Thailand yang enggan meneruskan perlawanan dalam aksi akhir acara regu Piala Dunia semalam ke badan disiplin untuk tindakan lanjut.
Menurut ISTAF dalam satu kenyataan, ini kerana tindakan itu melibatkan disiplin pertandingan antarabangsa.
“ISTAF ingin menegaskan bahawa semua pengadil dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas mereka secara profesional, adil dan bebas selaras dengan undang-undang permainan.
“Sekiranya mana-mana pasukan yang bertanding tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan semasa pertandingan, saluran yang sepatutnya disediakan di bawah peraturan adalah melalui prosedur bantahan rasmi dan bukannya dengan enggan meneruskan permainan.
“Memandangkan perkara ini melibatkan disiplin pertandingan serta tingkah laku pegawai dan pemain dalam satu perlawanan akhir antarabangsa, kes ini telah dirujuk kepada badan disiplin berkaitan untuk semakan lanjut,” katanya hari ini.
Mengulas mengenai kejadian semalam, katanya, tindakan diambil terhadap pasukan Thailand selepas mereka enggan meneruskan perlawanan meskipun selepas diminta oleh pengadil perlawanan.
“Pada satu detik penting dalam perlawanan regu ketiga, pengadil perlawanan telah membuat keputusan kesalahan pelanggaran garisan tengah terhadap seorang pemain Thailand selaras dengan Undang-Undang Permainan ISTAF.
“Susulan keputusan tersebut, pasukan Thailand telah meminta semakan cabaran dibuat. Walau bagaimanapun, pengadil perlawanan memaklumkan bahawa kesalahan pelanggaran garisan tengah tidak termasuk dalam skop prosedur Sistem Semakan Cabaran semasa.
“Walaupun beberapa penjelasan dan nasihat telah diberikan oleh pegawai perlawanan, pasukan Thailand enggan meneruskan perlawanan dan tidak kembali ke gelanggang dalam tempoh masa yang dibenarkan di bawah peraturan pertandingan,” katanya.
Selaras dengan Buku Panduan Teknikal ISTAF dan peraturan pertandingan jelasnya, pengadil perlawanan kemudiannya mengisytiharkan perlawanan tersebut kalah tanpa bertanding dan kemenangan diberikan kepada Malaysia.
Pada masa sama katanya, ISTAF kekal komited dalam melindungi integriti sukan ini, profesionalisme pengadilan dan semangat permainan adil dalam semua pertandingan yang disahkan oleh ISTAF.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















