Piala Dunia 2026: Kanada berpesta gol, David cipta hatrik benam Qatar 6-0
VANCOUVER – Jonathan David mencipta hatrik ketika membantu Kanada membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia awal pagi tadi, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama negara itu di pentas kejohanan berprestij berkenaan.
Kemenangan bergaya itu turut melonjakkan Kanada ke tangga teratas Kumpulan B mengatasi Switzerland menerusi kelebihan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan mengumpul empat mata daripada dua perlawanan.
Namun, kejayaan itu sedikit tercalar apabila pemain tengah Kanada, Ismael Kone mengalami kecederaan pada kaki kiri selepas diterjah pemain Qatar, Assim Madibo pada awal babak kedua.
Ismael terpaksa diusung keluar, manakala Assim dilayangkan kad merah.
Kanada membuka tirai jaringan menerusi Cyle Larin yang pantas menyempurnakan bola muntah sebelum David menggandakan kelebihan menerusi satu voli menarik.
Penyerang Lille itu kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya dari jarak dekat untuk meletakkan Kanada selesa mendahului.
Nathan Saliba menambah derita Qatar apabila meledak gol menerusi sepakan percuma sejurus menggantikan Kone yang cedera.
Qatar terus dihukum apabila Mohamed Manai tertampan bola ke gawang sendiri, menjadikan kedudukan 5-0 sebelum David melengkapkan hatriknya menerusi rembatan kaki kiri pada masa kecederaan.
Lebih malang buat Qatar apabila mereka menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Homam Ahmed turut dibuang padang pada minit ke-34 kerana mengasari Tajon Buchanan.
Pengadil pada awalnya menghadiahkan sepakan penalti kepada Kanada, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati kekasaran berlaku di luar kotak penalti.
Bagaimanapun, kad merah terhadap Homam dikekalkan.
Kanada kini berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya dan akan menutup aksi Kumpulan B menentang Switzerland di Vancouver pada 25 Jun, manakala Qatar akan berdepan Bosnia dan Herzegovina di Seattle.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








