Trump halang cubaan singkir Israel dari Piala Dunia 2026
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan pentadbirannya tidak akan membenarkan sebarang usaha menggantung pasukan bola sepak Israel daripada menyertai Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, lapor Daily Mail.
Kenyataan itu hadir selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak badan sukan antarabangsa itu mengambil tindakan terhadap Israel berhubung genosid terhadap penduduk Gaza.
“Kami akan memastikan Israel tidak disingkirkan daripada Piala Dunia,” menurut Jurucakap Jabatan Negara AS.
Israel bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan FIFA sehingga kini masih belum mengeluarkan keputusan rasmi berhubung gesaan PBB.
Presidennya, Gianni Infantino dilapor hanya menyatakan bahawa tindakan terhadap sebuah negara yang terlibat konflik adalah sesuatu yang sangat rumit.
Namun, kenyataan itu menimbulkan persoalan kerana Rusia masih digantung daripada kejohanan antarabangsa akibat pencerobohan ke atas Ukraine.
Israel ketika ini dalam kedudukan cerah untuk layak ke Piala Dunia dengan baki dua perlawanan kelayakan penting menentang Norway dan Itali.
Malah, Persekutuan Bola Sepak Norway sudah berikrar menyalurkan keuntungan perlawanan menentang Israel kepada badan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Langkah Trump dilihat sebagai strategi politik untuk menzahirkan sokongan teguh kepada Israel, sekali gus menimbulkan dilema kepada FIFA sama ada tunduk kepada tekanan antarabangsa atau patuh kepada pengaruh Washington.
Sebelum ini, White House turut memberi jaminan bahawa atlet dari negara lain termasuk Iran yang dikenakan sekatan perjalanan tetap dibenarkan memasuki AS bagi menyertai Piala Dunia 2026 dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Penglibatan Trump dalam pelbagai acara sukan sejak penggal keduanya bermula termasuk Super Bowl, US Open, Daytona 500 dan aksi Major League Baseball jelas memperlihatkan bagaimana beliau menjadikan arena sukan sebagai sebahagian daripada pentas politiknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








