Turkiye hentikan perdagangan, tutup ruang udara dengan Israel susulan perang Gaza
ANKARA – Turkiye menutup ruang udara kepada pesawat Israel sebagai tanda bantahan keras terhadap serangan melulu rejim Zionis di Asia Barat.
Dalam sesi khas Parlimen, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, keputusan itu diambil berikutan peperangan di Gaza termasuk tindakan Israel yang berterusan melancarkan serangan di Lubnan, Yaman, Syria dan Iran.
Walau bagaimanapun, skop dan masa sebenar penguatkuasaan larangan ruang udara itu tidak begitu jelas kerana data penerbangan pada hari ini masih menunjukkan pesawat komersial Israel menggunakan laluan udara Turki menuju ke Georgia dan Rusia.
“Serangan melulu Israel ke atas Gaza, Lubnan, Yaman, Syria dan Iran adalah bukti paling jelas mengenai mentaliti pengganas yang mencabar peraturan antarabangsa,” katanya memetik laporan portal berita The National.
Pada masa yang sama, kapal milik Turki juga tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan Israel.
Israel terus menerima kecaman dunia susulan tindakan memperluaskan perang di Gaza melalui serangan baharu ke atas bandar itu.
Untuk rekod, dalam tempoh minggu ini, rejim Zionis turut mendaratkan askar di Syria, melancarkan serangan ke atas Yaman serta meneruskan serangan berulang di Lubnan.
Dalam sesi itu, Speaker Parlimen Turki, Numan Kurtulmus menggesa Israel digantung keahlian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain berhubung dasar tidak berperikemanusiaan di Gaza.
Fidan menambah, Turki bersama 52 negara lain turut menandatangani inisiatif antarabangsa di PBB yang mendesak penghentian bekalan senjata dan peluru ke Israel.
Pada Mei tahun lalu, Turki mengumumkan pemberhentian semua perdagangan dengan Israel sehingga negara itu membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza tanpa sebarang halangan.
Berdasarkan data Institut Statistik Turki, nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah hampir AS$6.8 bilion (RM31.8 bilion) pada 2023, dengan lebih 75 peratus daripadanya melibatkan eksport Turki.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








