AirAsia meterai pembelian 150 buah Airbus A220
KUALA LUMPUR – AirAsia mengukuhkan rancangan pengembangan armadanya apabila memeterai tempahan 150 pesawat Airbus A220 dalam satu perjanjian bernilai kira-kira USD19 bilion (sekitar RM89 bilion), sekali gus menjadi pembelian terbesar dunia bagi model pesawat itu setakat ini.
Pengumuman rasmi dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Airbus bagi Perniagaan Pesawat Komersial, Lars Wagner, di Mirabel, Quebec, Kanada, semalam, dalam majlis yang turut dihadiri pengasas AirAsia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes serta Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.
Menurut Wagner, tempahan mega berkenaan bukan sahaja mencerminkan keyakinan tinggi AirAsia terhadap Airbus, malah membuktikan kemampuan kemudahan pengeluaran Airbus di Mirabel dalam memenuhi permintaan global bagi pesawat generasi baharu itu.
Beliau berkata, kejayaan memperoleh tempahan tersebut turut mengesahkan keputusan Airbus membawa model A220 ke dalam portfolio pesawat komersial syarikat sebagai langkah tepat dan strategik.
“Setiap pesawat yang akan diterima AirAsia dihasilkan di fasiliti Mirabel ini. Tempahan ini adalah undi percaya besar terhadap Airbus, Quebec dan juga Kanada.
“Pada saya, hari ini adalah situasi menang-menang untuk semua pihak,” katanya dalam ucapan sempena majlis pengumuman seperti dilaporkan FMT hari ini.
Wagner turut memaklumkan tempahan daripada AirAsia menjadikan jumlah keseluruhan pesanan Airbus A220 kini melepasi 1,100 unit di seluruh dunia.
Menurutnya, pesawat berbadan sempit itu mampu menjadi pemangkin kepada pembukaan laluan baharu AirAsia termasuk destinasi yang sebelum ini sukar dihubungkan secara komersial.
Beliau menjelaskan, pesawat berkapasiti sekitar 160 tempat duduk itu bakal membantu syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan memperluas rangkaian laluan serta meningkatkan margin keuntungan syarikat.
“Pesawat ini mampu terbang sehingga tujuh jam dan itu memberi nilai besar kepada operasi kami di Asia. Ia membolehkan kami membuka pasaran dan laluan baharu yang sebelum ini tidak ekonomik untuk diterokai,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian yang disiarkan secara langsung dari Mirabel.
Fernandes turut membayangkan kemungkinan AirAsia menambah 150 lagi pesawat sekiranya Airbus menghasilkan versi lebih panjang dikenali sebagai A220-500 yang mampu membawa kira-kira 185 penumpang.
Katanya, nilai keseluruhan perjanjian itu berpotensi meningkat sehingga USD38 bilion (sekitar RM178 bilion) jika model berkenaan direalisasikan Airbus pada masa depan.
Menurut beliau, pesawat A220 versi lebih besar itu diperlukan bagi menggantikan armada Airbus A320 sedia ada yang semakin menghampiri penghujung hayat operasi.
Dalam pada itu, Fernandes menyifatkan keputusan membuat tempahan besar ketika industri penerbangan berdepan cabaran ekonomi global sebagai langkah strategik yang selari dengan budaya AirAsia sejak penubuhannya.
“Krisis sebenarnya membuka ruang untuk membuat keputusan berani. AirAsia berkembang kerana kami berani membuat keputusan pada waktu yang tepat, bukan semestinya ketika keadaan paling mudah.
“Hubungan kami dengan Airbus sudah melebihi dua dekad dan menjadi asas kepada kejayaan syarikat ini. Hari ini hanyalah satu lagi mercu tanda penting dalam perjalanan tersebut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













