POLITIK

PH tawar 30 peratus kontrak PBT kepada belia, sasar 25 juta pelancong

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka menawarkan 30 peratus kontrak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada golongan belia dan beliawanis bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan kepada generasi muda tempatan.

Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, tawaran itu merupakan antara tiga fokus utama dalam aspirasi Melaka Rumah Kita yang dilancarkan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, tiga teras utama yang diketengahkan ialah Smart Melaka, memperluas peluang kepada golongan muda serta memperkasakan industri pelancongan negeri.

“PH turut menyasarkan kehadiran 25 juta pelancong ke Melaka menjelang 2032 bagi menjadikan negeri itu destinasi pelancongan lebih berdaya saing dan bertaraf antarabangsa.

“Melalui aspirasi Melaka Rumah Kita, kita mahu memastikan kerajaan menjaga amanah, membuka peluang pendapatan dan melaksanakan pembangunan untuk memperbaiki kehidupan seluruh rakyat.

“Smart Melaka pula memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan serta kualiti hidup rakyat,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan di Bilik Gerakan Utama PH hari ini.

Adly berkata, PH turut menggariskan 12 aspirasi merangkumi penyediaan rumah selesa, kerajaan mesra rakyat, pekerjaan berkualiti, pemerkasaan wanita, pembangunan usahawan dan perlindungan kebajikan.

“Aspirasi lain termasuk memperbaiki sistem lalu lintas, memperkasakan syiar Islam dan institusi agama, membentuk kerajaan bersih serta berintegriti, mengoptimumkan tanah terbiar untuk kegiatan ekonomi dan memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, tawaran berkenaan dirangka berdasarkan maklum balas rakyat, peniaga dan pengalaman perkhidmatan wakil PH di peringkat negeri serta Persekutuan.

“PH akan mengadakan beberapa siri penerangan dan perbincangan bagi memperincikan aspirasi berkenaan sepanjang tempoh kempen supaya rakyat dapat menilai tawaran yang dikemukakan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button