BERITA SEMASA

PRN Johor: PH hormati keputusan rakyat, akan nilai semula strategi hadapi PRU16

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan yang dibuat rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap strategi serta pendekatan gabungan itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat pengumuman awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala beberapa lagi kerusi masih menunggu keputusan rasmi.

Menurut beliau, wakil rakyat PH yang dipilih akan menjalankan tanggungjawab sebagai suara rakyat serta memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam DUN Johor.

“Denyut nadi rakyat tidak akan dipandang ringan. PH komited untuk memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat terus diperjuangkan dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas keputusan PRN Johor diumumkan hari ini.

Amirudin berkata, keputusan tersebut turut menjadi peringatan kepada seluruh jentera PH untuk memperkukuhkan gerak kerja serta mendekati rakyat dengan lebih berkesan menjelang PRU16 dan PRN Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPR, pasukan keselamatan, pengamal media dan seluruh petugas PH yang bertungkus-lumus sepanjang proses pilihan raya bermula daripada penamaan calon sehingga tamat pengundian.

Mengulas prestasi PH, Amirudin berkata, gabungan itu akan meneliti secara terperinci corak pengundian, penerimaan rakyat terhadap manifesto serta isu-isu setempat yang mempengaruhi keputusan di setiap kawasan.

“Kita perlu kembali menilai strategi dan pendekatan yang digunakan bagi memahami dengan lebih jelas isu sebenar yang menjadi pertimbangan pengundi,” katanya lago.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya negeri tidak semestinya mencerminkan keputusan pada pilihan raya umum kerana sentimen serta faktor yang mempengaruhi pengundi adalah berbeza mengikut keadaan semasa.

“Kadar keluar mengundi yang meningkat kepada sekitar 70 peratus berbanding kira-kira 50 peratus pada PRN sebelum ini sebagai petanda positif kepada amalan demokrasi negara dan menunjukkan penglibatan rakyat yang semakin tinggi dalam menentukan hala tuju negeri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button