PRN Johor: Anwar ingatkan parti bertanding jaga etika ketika berkempen
DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menjalankan kempen secara sopan, berakhlak dan tidak bersikap angkuh.
Beliau berkata, pertandingan pelbagai penjuru adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia perlu disertai dengan semangat kesederhanaan dan saling menghormati, lapor Buletin TV3.
“Tiga ke enam (penjuru) ini lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak, jangan lupa daratan.
“Dan bagi kita, kita cuba dalam Pakatan Harapan dekatkan kerana prestasi ditunjukkan. Jangan tunjuk sombong, jangan kata tolak orang itu, tolak. Tak, kerjasamalah.
“Malaysia ini sudah begini rupa. Ambillah sikap yang sederhana sikit. Cuba layani, santuni sebanyak mungkin masyarakat kita,” katanya ketika ditemui selepas menunaikam solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan pertandingan di beberapa kerusi bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
PH sebelum ini mengumumkan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang melibatkan 20 calon daripada PKR, Amanah (19) dan DAP (17).
Ini diikuti Barisan Nasional (BN) yang turut mengumumkan bakap bertanding di kesemua kerusi DUN menerusi 36 calon UMNO, 16 calon MCA serta empat calon MIC.
Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan PAS akan bertanding di 11 kerusi DUN, BERSATU (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala PEJUANG dengan satu kerusi.
Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu calon serta kemunculan sulung Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang dijangka bertanding 15 kerusi DUN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








