BERITA SEMASA

Permaisuri Agong pantau perkembangan Program Ilham Seni Diraja, fokus pembangunan pelajar B40

KUALA LUMPUR – Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap kumpulan tenaga pengajar Program Ilham Seni Diraja di Istana Negara semalam bagi meneliti perkembangan pelaksanaan program perintis yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat seni dan sahsiah pelajar daripada golongan B40.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan taklimat oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, pengasas Akademi Enfiniti selaku badan pelaksana program, mengenai perjalanan dan pencapaian program sejak dilancarkan pada 29 Januari lalu.

permaisuri
Program Ilham Seni Diraja bertujuan menyediakan ruang perkembangan yang sihat dalam bidang seni dan budaya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Hasrat saya adalah supaya program ini menjadi satu saluran yang membina perwatakan individu dan persahabatan yang positif untuk anak-anak ini agar menjauhkan mereka daripada pengaruh gejala sosial.

“Ia juga menjadi satu pendedahan kepada peluang kerjaya dalam bidang ini bagi yang benar-benar berminat dan cenderung ke arah kesenian dan kebudayaan,” titah baginda.

Program Ilham Seni Diraja bertujuan menyediakan ruang perkembangan yang sihat dalam bidang seni dan budaya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, sekali gus membantu melindungi mereka daripada pengaruh gejala sosial.

Seramai 200 pelajar bersama 14 guru daripada tujuh sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat dalam program yang dilaksanakan di bawah kelolaan Istana Negara, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Menerusi program itu, para pelajar didedahkan kepada pelbagai cabang seni persembahan termasuk lakonan, muzik, fesyen serta aspek pengurusan di belakang tabir sesebuah pementasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button