Artifak sejarah tidak boleh dibawa pulang sewenang-wenangnya – Agong
KUALA LUMPUR – Artifak sejarah yang berada dalam simpanan institusi luar negara tidak boleh dibawa pulang atau dituntut semula secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu melalui proses yang betul dan berlandaskan undang-undang.
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim melalui hantaran di Facebook rasmi Baginda.
Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Royal Press Office (RPO), titah tersebut merujuk kepada respons terhadap pandangan tertentu berhubung lawatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke British Library pada 16 Disember lalu, khususnya berkaitan pemilikan manuskrip dan dokumen sejarah Melayu yang disimpan di institusi berkenaan.
RPO menjelaskan sentimen umum yang menyifatkan semua artifak sejarah negara yang berada di luar negara sebagai ‘dicuri’ ketika era penjajahan adalah pandangan yang terlalu mudah, tanpa mengambil kira realiti sejarah dan hubungan antara kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Biarpun benar terdapat artifak yang diambil dengan cara yang tidak betul, namun sepanjang peradaban sejarah sebelum merdeka, kerajaan-kerajaan terdahulu banyak berhubung dan berkongsi pelbagai perkara termasuk cenderahati, yang kini menjadi artifak sejarah bersama,” menurut kenyataan itu.
Titah Baginda turut menjelaskan bahawa manuskrip dan surat-surat Raja Melayu yang dipamerkan semasa lawatan Raja Zarith Sofiah ke British Library adalah milik keluarga waris Sir Stamford Raffles yang kemudiannya diserahkan kepada British Library untuk tujuan penyelidikan dan simpanan.
Kenyataan itu turut menyentuh amalan pada zaman penjajahan British, di mana setiap buku atau hasil cetakan yang diterbitkan di Tanah Melayu perlu dihantar satu salinan kepada British Library di London untuk tujuan dokumentasi dan rujukan.
“Sebagai contoh, jika kita mempunyai surat-surat yang diutuskan kepada nenek moyang kita daripada pihak luar, adakah wajar ianya dituntut oleh waris pihak yang mengutuskan surat itu sebagai hak milik mereka, dan kita menyerahkannya kepada mereka? Ianya adalah bukti perhubungan antara kedua-dua pihak dan dalam konteks sejarah, wajar disimpan sebaiknya.
“Ini yang dilakukan oleh British Library dan banyak lagi institusi sepertinya, termasuk di negara kita, sebagai usaha memelihara sejarah dan teladannya untuk diselidik oleh generasi kini dan masa hadapan,” titah Baginda.
Menurut kenyataan itu lagi, dokumen dan manuskrip asal yang dipamerkan kepada rombongan Johor disimpan rapi dengan kawalan kelembapan udara yang teliti bagi memastikan ia tidak rosak, selain telah didigitalkan dan dikongsikan secara dalam talian untuk tujuan penyelidikan.
“Ini adalah lebih utama bagi mempelajari tentang ketamadunan bangsa kita, berbanding soal pemilikan artifak dan dokumen semata-mata,” titah Baginda.
Tambah kenyataan itu, lawatan Raja Permaisuri Agong ke British Library bertujuan menggalakkan penyelidikan yang lebih menyeluruh terhadap sejarah ketamadunan Melayu agar dapat dijadikan teladan dalam mencorak dan merancang masa depan bangsa pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








