Fahmi ingatkan ibu bapa pantau penggunaan media sosial anak bawah 16 tahun
KUALA LUMPUR – Ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan keselamatan anak-anak di internet, termasuk tidak membenarkan mereka berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial sendiri, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kanak-kanak berinteraksi dengan orang dewasa yang tidak dikenali yang mungkin mengambil kesempatan terhadap mereka atau melakukan perbuatan berunsur jenayah.
Katanya, bagaimanapun, tidak menjadi masalah sekiranya akaun media sosial dibuka oleh ibu bapa untuk tujuan pembelajaran dan pendidikan.
“Kita nak elak dari anak-anak yang bawah umur 16 tahun membuka akaun dan bercakap dengan orang dewasa yang tak dikenali yang mungkin akan mengambil kesempatan untuk memperlakukan anak-anak dengan cara yang tidak baik ataupun bersifat jenayah.
“Jadi ini mesej yang kita cuba sampaikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat di ibu negara, hari ini.
Fahmi berkata, Kempen Internet Selamat bersama PIBG yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Yayasan GoStrong Malaysia penting bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak ketika menggunakan internet.
Baca juga : MCMC perluas Kempen Internet Selamat, rakyat perlu celik ancaman siber
Katanya, kempen itu sebelum ini dilaksanakan di Pahang dan Perak, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi lokasi ketiga sebelum diteruskan ke Johor.
Beliau berkata, pendekatan menerusi PIBG penting kerana ibu bapa mempunyai hubungan rapat dengan pelajar dan lazimnya menjadi pihak yang membeli peranti untuk kegunaan anak-anak.
“Jadi mesej yang kita cuba sampaikan melalui kempen internet selamat dalam edisi ini adalah ibu bapa boleh mainkan peranan.
“Pertama untuk tahu tentang jenis-jenis jenayah, scam, buli siber yang terkini, cara ia dilakukan.
“Kedua adalah untuk berwaspada termasuk dengan AI supaya anak-anak tidak beranggapan AI ini adalah kawan, sahabat ataupun boleh menjadi teman.
“Ketiga, mesej yang kita cuba sampaikan ialah ibu bapa perlu mengaktifkan kawalan parental control untuk peranti dan aplikasi,” katanya.
Fahmi berkata, ibu bapa juga perlu mengetahui jenis jenayah dan penipuan terkini, termasuk buli siber serta kaedah yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, ibu bapa turut perlu berwaspada terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) supaya anak-anak tidak menganggap teknologi itu sebagai kawan, sahabat atau teman.
Selain itu, beliau berkata, ibu bapa disaran mengaktifkan kawalan ibu bapa atau ‘parental control’ bagi peranti dan aplikasi yang digunakan anak-anak.
“Jadi mesej yang kita cuba sampaikan melalui kempen internet selamat dalam edisi ini adalah ibu bapa boleh mainkan peranan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







