Platform media sosial diberi tempoh patuhi kod keselamatan, mangsa penyalahgunaan AI diminta lapor MCMC
KUALA LUMPUR – Platform media sosial menunjukkan perkembangan positif dalam usaha mematuhi Kod Mitigasi Risiko (RMC) dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dengan kerajaan memberi tempoh munasabah bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua kod itu berjalan lancar.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, platform terbabit kini sedang bekerjasama dengan kerajaan bagi melaksanakan mekanisme yang diperlukan selepas kedua-dua kod tersebut berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Menurut beliau, beberapa sesi perbincangan masih dijalankan bagi memastikan platform benar-benar memahami kehendak kod yang telah diwartakan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
“Setakat ini kerjasama yang diberikan adalah baik walaupun proses ini sememangnya mengambil sedikit masa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Fahmi mengingatkan kegagalan mematuhi kod yang diwartakan boleh mengundang tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan di mahkamah, denda sehingga RM10 juta atau penalti kewangan yang tinggi.
Beliau berkata, kerajaan yakin semua platform media sosial memahami tanggungjawab mereka dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, khususnya bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dan kemudaratan dalam talian.
Mengulas isu penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), Fahmi berkata, individu yang menjadi mangsa penggunaan gambar atau wajah mereka tanpa kebenaran digesa segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, selain membuat aduan kepada platform media sosial berkenaan, mangsa juga perlu melaporkan insiden tersebut kepada MCMC bagi membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Sementara menunggu undang-undang khusus berkaitan AI digubal oleh Kementerian Digital, pendekatan yang kita ambil ialah bertindak berdasarkan aduan yang diterima.
“Jika jumlah aduan meningkat dengan ketara, MCMC mempunyai beberapa pilihan tindakan lain seperti yang pernah diambil terhadap Grok AI,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini MCMC telah berhubung dengan platform X susulan penyalahgunaan Grok AI yang menghasilkan imej tidak sesuai sebelum beberapa mekanisme perlindungan (guardrails) dilaksanakan.
Menurut Fahmi, kerajaan komited memastikan pembangunan AI terus menggalakkan inovasi, namun pada masa sama hak, privasi dan keselamatan pengguna sentiasa dilindungi menerusi penguatkuasaan serta kerjasama berterusan dengan penyedia platform digital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








