Tabung solidariti Najib ‘jarum halus’ UMNO untuk halalkan rasuah – Naib Ketua Wanita PKR
KUALA LUMPUR – Usaha UMNO mengumpul RM50 juta bagi membantu Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda yang menjadi antara syarat menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah disifatkan sebagai tindakan yang boleh menormalisasikan budaya rasuah.
Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada kesalahan rasuah kini boleh dimaafkan sekiranya wang yang diterima didakwa digunakan untuk membantu rakyat.
Menurutnya, dalam usaha membina budaya integriti, kesalahan rasuah tidak sepatutnya dinilai berdasarkan niat atau populariti seseorang, sebaliknya berdasarkan undang-undang dan prinsip akauntabiliti.
“Apakah mesej yang sedang dihantar kepada generasi muda? Jika seorang pemimpin yang disabitkan kesalahan boleh mendapat sokongan kewangan sebuah parti untuk membantu membayar hukuman kewangannya, kita perlu bertanya, adakah kita sedang membina budaya membenci rasuah atau budaya memaafkan rasuah apabila pelakunya ialah pemimpin yang kita sokong?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, solidariti parti tidak seharusnya mengatasi kepentingan membina institusi dan budaya antirasuah.
“Parti politik sememangnya mempunyai hak untuk membantu ahli dan pemimpin mereka dalam batas undang-undang, namun pada masa sama mempunyai tanggungjawab moral kepada masyarakat untuk menunjukkan bahawa penyalahgunaan kuasa mempunyai akibat tanpa mengira siapa pelakunya.
“Kalau benar kita mahu Malaysia bebas rasuah, prinsipnya mesti mudah: jangan normalisasikan rasuah hanya kerana pelakunya daripada kelompok kita sendiri,” katanya lagi.
UMNO sebelum itu mengumumkan usaha mengumpul RM50 juta bagi membantu Najib melunaskan denda berhubung kes membabitkan RM42 juta dana SRC International, dengan kutipan dilaporkan mencecah RM1 juta.
Keat Chean berkata, usaha berkenaan sebagai “jarum halus” yang boleh memberi gambaran seolah-olah kesalahan rasuah boleh dimaafkan atas alasan tertentu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








