MARA buka laluan kerjaya graduan menerusi Career Crafting 2026
KAJANG – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkasa agenda pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran MARA Career Crafting 2026 yang menghubungkan pelajar, graduan, alumni MARA dan pencari kerja secara langsung dengan industri serta peluang pekerjaan.
Program yang dilaksanakan di lima zon seluruh negara itu dimulakan menerusi Central Chapter di German-Malaysian Institute (GMI), Kajang pada 20 dan 21 September sebelum diteruskan ke Southern Chapter di TVETMARA Johor Bahru, Eastern Chapter di TVETMARA Kemaman, Northern Chapter di UniKL Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI), Kulim dan Borneo Chapter di TVETMARA Bintulu.
Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar berkata, Career Crafting 2026 bukan sekadar karnival kerjaya, sebaliknya platform strategik yang merapatkan jurang antara dunia pendidikan dengan keperluan sebenar industri.
Menurut beliau, penglibatan industri secara langsung memberi peluang kepada peserta mengenal pasti ruang kerjaya yang bersesuaian dengan bidang, kemahiran dan potensi masing-masing, selain membantu mereka membina keyakinan untuk melangkah ke alam pekerjaan.
“Lebih penting, peluang yang diketengahkan menerusi program ini boleh diterjemahkan kepada pekerjaan sebenar. Penyerahan surat tawaran pekerjaan pada majlis perasmian Central Chapter menjadi bukti bahawa program ini bukan sekadar menyediakan maklumat, malah membuka laluan kepada peserta untuk terus memasuki pasaran kerja,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini hari ini.
Central Chapter melibatkan pelajar tahun akhir daripada 44 Institusi Pendidikan MARA (IPMa) selain graduan, alumni MARA dan pencari kerja.
Sebanyak 60 reruai industri dan pendidikan disediakan bagi membolehkan peserta berinteraksi secara terus dengan majikan, meneroka peluang pekerjaan serta memahami kompetensi yang diperlukan industri.
Antara pengisian program ialah LinkedIn Career Clinic, perkongsian laluan kerjaya, Pitch & Connect with Industry, semakan resume, temu duga secara langsung serta sesi interaksi bersama pemain industri.
Program itu turut mendapat kerjasama strategik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi MYFutureJobs, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperluaskan akses kepada maklumat pasaran buruh, peluang pekerjaan dan perkhidmatan pemadanan pekerjaan.
Lebih 40 syarikat dan majikan daripada sektor pembuatan, automotif, semikonduktor, kejuruteraan, teknologi dan digital, tenaga, penerbangan, pengangkutan, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan profesional mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Antara yang terlibat ialah KUKA Robot Automation, Perodua, Prasarana Malaysia, Sony EMCS, Hartalega, Chery Corporate Malaysia, CTRM, Coca-Cola, Micron, Nexperia dan Bermaz Auto.
Menurut MARA, pendekatan sama akan diteruskan mengikut keperluan setiap zon dengan Southern Chapter memberi tumpuan kepada pemadanan pekerjaan dan temu duga, manakala Eastern Chapter akan memperluaskan jaringan bersama pemain industri khususnya sektor minyak dan gas.
Career Crafting 2026 membawa pendekatan “daripada mengenali peluang kepada mendapatkan peluang” dengan menggabungkan persediaan kerjaya, pendedahan industri, jaringan profesional, pemadanan pekerjaan dan temu duga dalam satu platform.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








