SEJAK bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkasakan pada era Kerajaan MADANI, pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor itu untuk tenaga kerja tempatan berjaya dijana dengan penglibatan pemain industri.
Lebih menarik, sektor tersebut bukan sahaja menjanjikan peluang pekerjaan kepada ribuan bakal graduan malah menyediakan tangga gaji yang setara dengan kelayakan dimiliki.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr Asnizah Sahekhaini, pihaknya turut berbangga apabila ramai pemain industri terlibat dengan menyediakan tempat dan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja baharu atau sedia ada.

Namun begitu beliau berkata, di sebalik pelbagai inisiatif disediakan, pihaknya turut berhadapan dengan cabaran tersendiri apabila masih ramai golongan muda atau Gen Z lebih gemar mencari pekerjaan lain berbanding terlibat dalam bidang TVET.
Katanya, ini kerana golongan tersebut menganggap kerjaya dalam bidang berkenaan tidak menjanjikan pendapatan lumayan atau setara dengan beban kerja dan dalam masa yang sama mahukan keseimbangan dalam pekerjaan .
“Walaupun peluang pekerjaan banyak tersedia, Gen Z lebih memilih pekerjaan dengan masa dan skop yang fleksibel.
“Pada masa yang sama, mereka juga mahukan pekerjaan dengan pendapatan permulaan yang setara dengan kelulusan yang dimiliki,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Tambahnya, biar pun sokongan pihak industri dalam menyediakan skop kerja dan gaji permulaan yang berpatutan kini semakin meningkat, lebih banyak peluang dan kesedaran perlu dilaksanakan bagi menarik minat golongan muda.
“Dari segi sokongan industri, tiada masalah mendesak termasuk daripada MNC dan GLC, bagaimanapun, data menunjukkan majoriti syarikat SME masih ketinggalan dari segi penawaran gaji permulaan yang menarik untuk menarik tenaga kerja ini,” katanya.
Bagi memahami isu berkenaan, pihak kementerian khususnya KPT mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu yang wujud.
Antara dapatan diperoleh termasuk kekurangan kemahiran insaniah dan dalam beberapa kes, terdapat jurang antara kemahiran teknikal dimiliki tenaga kerja dengan apa yang dipraktikkan dalam industri.
Bagi merapatkan jurang berkenaan, Asnizah berkata, pihaknya merangka langkah bagi meningkatkan tahap kemahiran tenaga kerja menerusi pelbagai latihan tambahan, khusus bagi meningkatkan kemahiran sedia ada dan menyediakan tenaga kerja dengan kemahiran baharu.
“Walaupun kemahiran teknikal amat penting, pasaran kerja kini semakin menuntut kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritikal dan kecerdasan emosi.
“Kita turut mengadakan aktiviti seperti latihan simulasi (role-playing), projek berkumpulan dan kajian kes dunia sebenar dapat membantu pelajar mempraktikkan kerjasama dan penyelesaian masalah dalam suasana kerja yang disimulasikan.
“Selain itu, kita turut adakan program bimbingan kerjaya di mana pelajar akan menerima bimbingan profesional berpengalaman yang membolehkan pelajar memupuk kemahiran interpersonal dan rangkaian (networking).
“Kemahiran sedemikian juga memberi keupayaan kepada graduan untuk kekal kompetitif dan berkembang dalam persekitaran kerja yang dinamik,” katanya lagi.
Jelas beliau, dasar yang dirangka kerajaan tidak hanya memanfaatkan Gen Z dengan peningkatan dan pengayaan kemahiran tetapi turut memberi manfaat menyeluruh kepada pemain industri.
“Langkah sedemikian merupakan strategi serampang dua mata yang mana dapat menyemarakkan lagi penyediaan pekerjaan yang berkualiti dengan gaji yang bermaruah dan pada masa yang sama membuka mata tenaga kerja muda bahawa pekerjaan impian mereka ada tersedia dalam negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








