BERITA SEMASA

Semua pemohon UP_TVET akan ditawarkan tempat – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan semua permohonan menerusi sistem Unit Pengambilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (UP_TVET) akan ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, sistem berkenaan akan memadankan setiap permohonan dengan kursus yang ingin disertai berdasarkan syarat minimum kelayakan dan tempat ditawarkan.

“Kita menjangkakan bahawa 30,000 tempat yang ditawarkan, tapi khuatir permohonan akan lebih 100,000, jadi saya minta Majlis TVET Negara pastikan jangan ada seorang pun berkecil hati kerana tidak dapat tempat.

“Walaupun tidak ada sijil akademik sama ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita akan terima selagi pemohon adalah warga Malaysia untuk memasuki mana-mana institusi TVET,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, bagi memperkasa bidang berkenaan, kursus akan turut menawarkan pendidikan beraras tinggi seperti dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) serta robotik.

“Sistem UP_TVET yang sudah bermula sejak Oktober tahun lalu menawarkan dua kategori permohonan iaitu menerusi Ambilan Perdana dua kali setahun iaitu ambilan Januari dan Julai serta Ambilan Sepanjang Tahun untuk ditempat di semua 1,345 institusi TVET negara.

“Antara ciri UP_TVET ialah institusi akan menawarkan kursus kepada calon dan berpeluang untuk mendapat lebih daripada satu tawaran.

“Bagaimanapun, pada akhirnya calon hanya boleh memilih untuk bersetuju menerima satu tawaran sahaja,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pengambilan Julai tahun ini membabitkan semua institusi TVET di bawah tujuh kementerian yang menawarkan 744 kursus sudah dibuka sejak Mac lalu dan akan ditutup pada 11 Jun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button