BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Khairul Aming jadi mangsa video palsu guna deepfake, AI

KUALA LUMPUR – Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan orang ramai menggunakan wajah dan suara seseorang mencetuskan kemarahan usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming.

Dalam hantaran video terbarunya, Khairul Aming meluahkan kekecewaan dan kebimbangan apabila wajah dan suaranya disalahgunakan untuk mempromosi produk bukan miliknya.

“Fitnah sudah semakin berleluasa. Tolong laporkan scammer yang salah guna muka dan suara orang untuk menipu.

“KA (Khairul Aming) tidak pernah jual barang-barang selain Sambal Nyet dan Dendeng Nyet,” tulisnya dalam hantaran di media sosial.

Khairul Aming berkata, sindiket penipuan yang menggunakan teknologi ‘deepfake’ dan suara AI itu semakin berleluasa melibatkan penjualan pelbagai produk.

“Dahulu dengan Photoshop (penyuntingan gambar). Sekarang sampai suara aku pun jadi AI. Bayangkan berapa banyak benda boleh jadi fitnah nanti,” katanya.

Katanya, antara penjualan produk yang dikesan menggunakan wajahnya termasuk periuk, Apple Watch dan mesin pengisar buah-buahan (blender).

“Suara yang anda dengar tadi (dalam video iklan promosi jualan periuk yang disertakan dalam video beliau) yang anda tengok tadi bukan suara Khairul Aming. Itulah AI yang scammer salah guna untuk tipu orang ramai.

“Ada yang jual periuk, ada yang jual Apple Watch, jual blender (pengisar), macam-macamlah, macam-macam muka. Muka saya sudah diguna (salah guna) untuk macam-macam benda.. sudah di luar kawalan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak tertipu dengan penjual-penjual online yang menggunakan identitinya.

“Kakak-kakak, makcik-makcik, abang-abang di luar sana yang tengok, tolong berhati-hati. Di Facebook sudah semakin berleluasa benda ini. Fikir, siasat, teliti baik-baik sebelum membeli sesuatu benda,” katanya.

Tinjauan Malaysia Tribune di platform X milik Khairul Aming mendapati ada pengguna yang mengakui diminta oleh ibu untuk membelikan periuk anti gelincir selepas melihat promosi menggunakan gambar pempengaruh berkenaan.

“Ibu minta saya beli untuk bantu (Khairul Aming) selepas melihat harga dipaparkan. Saya minta ibu tengok video itu betul-betul tapi dia tanya saya semula jika kuali itu tidak berkualiti.

“Sekarang adalah masa untuk kita melindungi ibu bapa kita dari (ditipu) seperti ini,” kata @SheaSonia.

 

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button