KEMENTERIAN KOMUNIKASI

120 pengamal media bincang cabaran kekal kredibiliti dalam era AI

PUTRAJAYA – Kepercayaan masyarakat terhadap media dilihat sebagai antara cabaran terbesar industri kewartawanan ketika ini susulan ledakan maklumat yang bergerak pantas dalam era digital, termasuk perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menyedari kepentingan itu, Malaysian Press Institute (MPI) dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan forum industri media sebagai platform perbincangan berkaitan cabaran kewartawanan moden serta usaha memperkukuh kredibiliti media.

Seramai 120 pengurusan tertinggi organisasi media serta pakar industri menyertai forum industri media selama dua hari itu bagi membincangkan isu berkenaan dalam ekosistem kewartawanan digital yang semakin kompleks.

Program yang berlangsung hari ini hingga esok itu mengetengahkan forum bertajuk “Balancing Virality & Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust & Impact – An Industry Dialogue”.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, transformasi landskap media global berlaku secara pantas apabila masyarakat kini beralih daripada media tradisional kepada platform digital, sebelum memasuki fasa baharu yang dipacu teknologi kecerdasan buatan generatif.

Beliau berkata, perubahan itu bukan sahaja mengubah cara maklumat disampaikan, tetapi turut memberi kesan langsung terhadap cara masyarakat berfikir, membuat keputusan serta menilai sesuatu isu.

“Sejak beberapa dekad lalu, dunia telah berpindah dari media tradisional ke media digital. Sekarang, kita berada dalam era baharu yang dikembangkan oleh AI yang memperkembangkan ekosistem media global,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail; Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez; Timbalan Ketua Pengarah Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Malaysia, Rubaayah Osman; Ahli Majlis MPI; Ketua Pengarang; Editor Kanan; pengamal media serta ahli akademik.

Dalam pada itu, Teo menegaskan cabaran terbesar industri media ketika ini ialah ketegangan antara keperluan untuk menjadi pantas dan pada masa sama mengekalkan ketepatan serta kepercayaan awam terhadap maklumat.

Beliau berkata, dalam ekonomi digital, perhatian manusia telah menjadi aset bernilai tinggi apabila setiap klik, perkongsian dan interaksi memberi impak langsung kepada ekosistem kandungan.

“Jika kegagalan merupakan cabaran terbesar dalam aspek ilmu dan maklumat, maka kepercayaan pula menjadi cabaran paling besar dalam soal kredibiliti. Hari ini, dunia sedang berdepan krisis kepercayaan yang semakin meruncing.

“Dalam persekitaran ini, wartawan memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menyampaikan berita. Wartawan berfungsi sebagai pengawal maklumat yang membantu masyarakat memahami serta menjelaskan fakta,” katanya.

Menurut beliau, pengaruh algoritma turut membentuk budaya komunikasi baharu apabila kandungan berunsur emosi seperti kemarahan dan kebencian lebih mudah tular berbanding maklumat yang tepat dan seimbang.

Justeru, media perlu kekal relevan dalam ekosistem digital tanpa mengorbankan prinsip asas kewartawanan seperti ketepatan, integriti dan pengesahan fakta.

Teo berkata, kerajaan Madani menyokong pendekatan kawal selia kendiri industri media melalui penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang bertujuan memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap media.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, cabaran utama media ketika ini bukan sekadar menjadi terpantas, sebaliknya memastikan setiap laporan kekal tepat, beretika dan bertanggungjawab.

“Kepercayaan masyarakat terhadap media tidak dibina melalui viraliti tetapi melalui integriti dan kredibiliti yang dipertahankan secara konsisten.

“Kerana pada akhirnya, kekuatan media bukan terletak pada jumlah tontonan atau perkongsian, tetapi pada tahap kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button