BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Akta 866 bendung kandungan AI mengelirukan, bawa mudarat – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan giat menangani isu risiko penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya melibatkan kandungan digital yang berpotensi mengelirukan dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah proaktif telah diambil melalui penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] yang bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian serta mengawal selia kandungan memudaratkan.

“Kerajaan telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] bagi meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia serta mengawal selia kandungan memudaratkan.

“Selain itu kerajaan turut mengadakan peruntukan bagi kewajipan dan obligasi bagi penyedia pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) di Dewan Rakyat hari ini.

Shamshulkahar meminta Menteri Komunikasi menyatakan mekanisme kawalan kepada teknologi AI yang berkembang terlalu pantas sehingga mampu mengelirukan rakyat.

Baca juga : Penghasilan grafik Jalur Gemilang guna AI perlu arahan tepat, semakan rapi elak kesilapan

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah akta berkenaan.

Beliau berkata, peraturan dan kod yang sedang dirangka turut memberi fokus terhadap isu perlindungan kanak-kanak dalam talian serta pengurusan risiko dalam talian.

“MCMC turut meneliti keperluan bagi penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan pelabelan kandungan yang dijana secara automatik menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) melalui kod ini.

“Inisiatif ini bertujuan membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang berpotensi mengelirukan, manipulatif atau tidak sahih, selaras dengan usaha mengurangkan risiko penyebaran maklumat tidak tepat atau kandungan memudaratkan di platform dalam talian,” jelas beliau.

Selain itu, Fahmi menjelaskan, penyedia perkhidmatan diwajibkan menyediakan pelan keselamatan dalam talian sebagai bukti pematuhan terhadap obligasi yang digariskan dalam Akta 866.

“Bagi memperkukuh pelaksanaan akta tersebut, kerajaan akan turut menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang akan memberi nasihat serta syor kepada MCMC berkaitan isu keselamatan dalam talian.

“Jawatankuasa ini akan diuruskan oleh Menteri Undang-Undang dan dianggotai pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil penyedia perkhidmatan berlesen,” jelas Fahmi.

Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan kedua Shamshulkahar berkenaan kesediaan kerajaan menggubal undang-undang bagi mewajibkan penerbit kandungan meletakkan label pada konten termasuk imej dan video yang dijana atau dimanipulasi oleh AI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button