BERITA SEMASA

UMNO Negeri Sembilan mahu isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar diselesaikan ikut adat, perlembagaan

SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan memandang serius perkembangan terbaharu berhubung proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini turut mengambil maklum penjelasan dan pendirian Undang Yang Empat menerusi sidang media pada 8 September lalu.

Menurut UMNO Negeri Sembilan, perkara yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh mana-mana parti politik, kerajaan negeri atau individu secara bersendirian.

“Perkara itu perlu dilihat dan diselesaikan dalam kerangka adat, prerogatif serta peruntukan perlembagaan negeri yang menjadi asas kepada keunikan sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

“Sebarang persoalan berkaitan kedudukan institusi negeri hendaklah diselesaikan melalui saluran adat dan perundangan yang sah, telus serta menghormati struktur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan tidak mahu rakyat terus dibebankan dengan pertikaian berpanjangan, sebaliknya menegaskan kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan keharmonian masyarakat perlu kekal menjadi keutamaan.

Katanya, sebagai parti yang menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu, UMNO Negeri Sembilan berkata pihaknya akan terus mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan serta menghormati adat dan perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan mesyuarat khas bagi menyelaras isu berkaitan adat secara harmoni selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2026.

UMNO Negeri Sembilan pada masa sama menyeru seluruh rakyat supaya kekal tenang dan memberikan ruang kepada proses sewajarnya untuk berjalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button