12 warga Bangladesh, Pakistan ditahan, 6.5 tan ayam diragui status halal dirampas
PUCHONG – Bekalan ayam mentah yang diproses di sebuah gudang sebelum diedarkan ke kedai makan, kedai runcit dan pasar raya sekitar Lembah Klang serta Putrajaya terbongkar diragui status halalnya selepas pihak berkuasa menyerbu premis berkenaan, semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Chiller itu membawa kepada rampasan 6,555 kilogram (kg) ayam mentah bernilai RM85,400, selain penahanan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang bekerja dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, gudang berkenaan disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing warga Bangladesh dan Pakistan yang bekerja dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan awal mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum penyembelihan dilakukan, sekali gus menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk,” menurut kenyataan itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit mendapatkan bekalan ayam daripada ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.
Ayam yang selesai diproses kemudian diedarkan kepada pelanggan komersial termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana serta Putrajaya.
Susulan penemuan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 3(1)(a) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor pula mengeluarkan Notis Penahanan Kelengkapan Operasi mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling mengenakan Notis Pembersihan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 susulan ketidakpatuhan terhadap aspek kebersihan, kawalan suhu dan keadaan fizikal premis.
Polis turut menahan kesemua warga asing berkenaan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Semua ayam mentah yang dirampas ditempatkan sementara di pejabat JAIS di Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap sumber bekalan makanan serta memastikan produk yang dipasarkan sebagai halal memenuhi keperluan pensijilan ditetapkan.
Operasi kira-kira jam 12.40 tengah malam itu dilaksanakan Pasukan Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama JAIS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAS Selangor dan PKD Petaling.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








