Dalang curi kabel projek ECRL ditahan polis
TEMERLOH – Dua lelaki termasuk ketua kumpulan ‘Geng Musang’ yang disyaki terbabit dengan kes mencuri kabel Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga menyebabkan kerugian lebih RM825,000 berjaya ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron suspek ditahan di tepi Jalan Kampung Batu Tiga, Jalan Karak, Mentakab di sini, kira-kira pukul 9 malam Khamis lalu.
Katanya, suspek berusia 32 ditahan dikenali dengan gelaran ‘Musang’ dipercayai ketua kumpulan penjenayah terbabit ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
“Dua suspek terbabit diburu polis sejak Ogos lalu bagi membantu siasatan kecurian kabel projek ECRL di Bentong, Temerloh dan Kuantan.
“Polis turut merampas senjata tajam dan sejumlah dadah bersama suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, dua lelaki terbabit disahkan positif dadah dan seorang daripadanya mempunyai enam rekod jenayah serta kesalahan dadah.
Suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan & Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata tajam berbahaya iaitu sebilah kerambit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







