Disyaki perisik Malaysia, Isa Isarb ditahan enam hari di Indonesia
KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Isa Isarb mendakwa dia bersama beberapa individu lain ditahan selama enam hari di Indonesia selepas disyaki menjadi perisik Malaysia atau menerima bayaran daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan negara itu.
Isa berkata, tujuan sebenar kehadiran mereka di Indonesia adalah untuk menghasilkan dokumentari mengenai isu jerebu.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke kawasan hutan terbakar, mereka terserempak dengan sekumpulan orang ramai yang berhimpun di lokasi demonstrasi mahasiswa sebelum mengambil keputusan untuk singgah dan menemui beberapa individu di situ.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian kami didatangi kira-kira 10 hingga 15 pegawai sebelum salah seorang daripada mereka bertanyakan sama ada saya ialah Isa Batharul, sedangkan saya lebih dikenali sebagai Isa Isarb,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isa berkata, mereka kemudian ditahan atas kesalahan menyalahgunakan visa pelancong kerana visa berkenaan tidak membenarkan aktiviti penggambaran atau berada di lokasi demonstrasi.
Dia turut mendakwa keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila kira-kira 40 anggota tambahan, termasuk pasukan keselamatan siber dengan teknologi canggih serta pegawai atasan, tiba di balai berkenaan pada keesokan harinya.
Katanya, dia kemudian dimaklumkan bahawa mereka disyaki menjadi perisik Malaysia susulan bukti perbualan dengan beberapa ahli politik di negara ini.
Bagaimanapun, Isa menjelaskan perbualan yang dimaksudkan adalah urusan dengan pasukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurutnya, komunikasi itu hanya bertujuan mengatur pertemuan bagi mendapatkan temu bual untuk dokumentari jerebu yang sedang dihasilkan.
Dia turut menjelaskan jemputannya ke Parlimen Malaysia pada minggu sama adalah bagi menemui ahli Parlimen berkenaan untuk sesi temu bual, dengan lokasi itu dipilih bagi menyesuaikan jadual individu terbabit.
Isa berkata, sepanjang enam hari berada dalam tahanan, mereka disoal siasat setiap hari sehingga menimbulkan kebimbangan kemungkinan berdepan hukuman penjara 20 tahun atau hukuman mati melalui tembakan sekiranya disabitkan kesalahan pengintipan.
Katanya, dia turut mengalami serangan panik ketika berada di lokap selain bimbang memikirkan nasib isteri dan anak sekiranya dikenakan hukuman di Indonesia.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Indonesia membolehkan mereka akhirnya dibawa pulang.
Isa turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia atas layanan sepanjang siasatan serta kerajaan Malaysia yang disifatkan tidak melepaskan tangan ketika mereka memerlukan bantuan.
Dalam pada itu, dia memaklumkan pengalaman berkenaan akan dikongsikan dengan lebih terperinci menerusi video di saluran YouTube Isa Isarb pada 16 November ini.
Katanya, keputusan menangguhkan penerbitan video itu dibuat bagi mengelakkan kisah berkenaan dijadikan bahan kempen atau dimanipulasi untuk kepentingan mana-mana pihak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Isa turut memohon maaf kerana tidak dapat memuat naik video seperti kebiasaan dan memaklumkan saluran YouTubenya akan kembali aktif pada 16 November ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








