Iran laksana hukuman gantung tiga lelaki didakwa ejen perisikan Israel
TEHRAN – Iran melaksanakan hukuman gantung terhadap tiga individu yang didakwa terlibat dalam kegiatan perisikan bagi pihak Israel.
Menurut kenyataan rasmi pihak kehakiman Iran, ketiga-tiga individu Idris Ali, Azad Shojai dan Rasoul Ahmad Rasoul ditahan kerana dipercayai cuba membawa masuk peralatan ke dalam negara bagi melaksanakan operasi pembunuhan.
“Mereka didakwa bersekongkol dengan rejim Zionis dan cuba menggugat keselamatan negara. Hukuman gantung dilaksanakan pagi ini di bandar Urmia.
“Pelaksanaan hukuman dilakukan di wilayah barat laut Iran berhampiran sempadan Turkiye,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa menyiarkan gambar tertuduh dalam pakaian seragam biru penjara sebagai sebahagian daripada laporan pelaksanaan hukuman.
Tehran secara konsisten mengumumkan penahanan dan pendakwaan terhadap individu yang disyaki menjadi ejen perisikan asing, khususnya yang dikaitkan dengan agensi perisikan Israel, Mossad.
Susulan konflik bersenjata pada 13 Jun lalu, pihak berkuasa Iran mengumumkan proses pendakwaan terhadap mana-mana individu yang didakwa bersekutu dengan pihak musuh akan dipercepatkan.
Dalam tempoh beberapa hari lalu, dua lelaki turut menerima hukuman mati atas tuduhan sama, masing-masing pada Ahad dan Isnin.
Sementara itu, Amnesty International dan beberapa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa melaporkan Iran kini merupakan negara kedua tertinggi di dunia dalam pelaksanaan hukuman mati, selepas China.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








