BERITA SEMASA

Malaysia kekal tegas sekat warga Israel, tidak tunduk tekanan AS

SEREMBAN – Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya menghalang kemasukan warga Israel ke negara ini walaupun berdepan tekanan dan kritikan daripada beberapa Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat mempunyai hak untuk menentukan dasar serta keputusan sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

Menurutnya, tindakan lapan Ahli Kongres AS yang menyelar pendirian Malaysia tidak akan mengubah keputusan kerajaan berhubung perkara itu.

“Beberapa Ahli Parlimen Amerika membuat kenyataan menyelar saya kerana keputusan Malaysia menyekat kemasukan rakyat Israel ke dalam syarikat dan sebagainya.

“Oleh itu, ia tidak menghalang. Mereka boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh rakyat Malaysia untuk terus menghalang kehadiran mana-mana warga Israel di Malaysia,” katanya selepas menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini hari ini.

Anwar berkata, pendirian Malaysia terhadap Israel bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah lama menjadi dasar negara selaras dengan prinsip kedaulatan dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Terdahulu, lapan Ahli Kongres AS dilaporkan menggesa Washington menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan pendirian tegas kerajaan berhubung kemasukan warga Israel ke negara ini.

Mereka turut mencadangkan beberapa bentuk tindakan terhadap Malaysia sekiranya dasar berkenaan tidak diubah.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan sebarang tekanan luar tidak akan menjejaskan hak Malaysia untuk menentukan dasar imigresen dan keselamatan negara sendiri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button