
PM, Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan hadiri taklimat prapersidangan Dewan Rakyat
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini, lapor BERNAMA.
Hadir sama, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri.
Sesi perbincangan itu diadakan secara tertutup bermula tengah hari tadi dan berakhir kira-kira pukul 5 petang tadi.
Untuk rekod, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat.
Sementara itu, berdasarkan takwim menerusi laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari dan akan turut menyaksikan Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul tersebut selama tujuh hari mulai 4 Februari.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.
Persidangan akan diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain, bermula 26 Februari.
Antaranya, membabitkan pembentangan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024 serta RUU Bernama (Pindaan) 2024.
Selain itu, Kertas Putih Agenda Negara Menua juga akan dibentang di Dewan Rakyat yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








