BERITA SEMASA

Projek perumahan 3,500 unit ke atas wajib sediakan prasarana pendidikan

KUALA LUMPUR – Semua projek perumahan berskala besar yang mempunyai sekurang-kurangnya 3,500 unit perlu mempunyai prasarana pendidikan bagi kemudahan penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prasarana seperti sekolah dan tadika merupakan syarat asas yang mesti dipenuhi sebelum kelulusan penuh diberikan kepada projek berkenaan.

Tegas beliau, semua pihak termasuk pemaju, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan jabatan berkaitan perlu menyelaraskan syarat-syarat tersebut sebagai sebahagian daripada pelaksanaan konsep MADANI demi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Semua konsep perumahan besar terutama yang melibatkan 3,500 unit rumah mesti menyediakan prasarana sekolah.

“Ada sekolah dekat? Ada sekolah menengah, sekolah rendah? Kita nak pastikan (projek perumahan berskala besar) mesti ada sekolah.

“Saya mahu pastikan, kalau tidak ada sekolah berdekatan, pihak pemaju kena ambil beberapa blok yang ada, lengkap dengan lif khusus untuk dijadikan sekolah bertingkat (vertical school),” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri, di sini hari ini.

Selain prasarana pendidikan, Anwar turut menegaskan projek perumahan juga perlu mengambil kira penyediaan kemudahan lain termasuk aspek kesihatan, keselamatan dan pengangkutan awam.

“Saya harap pemaju beri kerjasama. Saya tidak mahu ganggu. Saya tidak akan membebankan dengan kos tambahan.

“Ini projek besar yang dilakukan dan saya tak perlu tahu siapa pemajunya. Tidak ada komisen untuk Perdana Menteri atau politiknya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button