BERITA SEMASA

Semangat berpasukan kunci kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN – PM

PUTRAJAYA – Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 adalah hasil semangat berpasukan dan dedikasi luar biasa seluruh jentera kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, kelancaran urusan sepanjang acara tersebut adalah berkat komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak termasuk sokongan daripada rakyat yang memahami peranan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Di semua peringkat, saya lihat anak-anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, imigresen, MAHB, pengurusan di hotel, Kementerian Luar Negeri yang menyelaraskan, hingga Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan protokol,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa protokol yang ketat turut memberi cabaran kepada beliau.

“Saya pun pening dengan protokol, tapi saya hormat apa yang pegawai arahkan Perdana Menteri. Saya ikut. Kenapa? Sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai pasukan,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berakhir pada Selasa lalu selepas beberapa siri pertemuan peringkat tinggi yang bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan perkongsian strategik.

Sepanjang dua hari berlangsung, pemimpin ASEAN turut menyertai mesyuarat penting termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button