BERITA SEMASA

PM hargai wartawan, pengamal media perkukuh demokrasi negara

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas peranan mereka sebagai suara rakyat serta antara institusi penting dalam memperkukuh demokrasi negara.

Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), beliau berkata, tanggungjawab media bukan sekadar menyampaikan berita, malah memikul amanah besar dalam menegakkan kebenaran secara berintegriti dan beretika.

Menurut beliau, dalam era lambakan maklumat serta penyebaran berita tanpa sempadan ketika ini, pelaporan yang tepat dan bertanggungjawab amat penting bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

“Pelaporan yang bertanggungjawab amat penting bagi memastikan fakta disampaikan secara tepat, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berharap wartawan dan pengamal media terus memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa, suara rakyat dan nurani negara dalam memperkukuhkan sistem demokrasi.

HAWANA diperkenalkan pada 2018 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar pengamal media kepada pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei pula dipilih sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada tahun 1939.

Sambutan HAWANA 2026 yang membawa tema ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun depan dan akan dirasmikan Perdana Menteri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button