BERITA SEMASA

Lima pegawai kanan Polis Kuala Lumpur dinaikkan pangkat ke SAC

KUALA LUMPUR – Lima pegawai kanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerima kenaikan pangkat daripada Asisten Komisioner Polis (ACP) kepada Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Pegawai yang dinaikkan pangkat ialah Ketua Polis Daerah Sentul, SAC Basri Sagoni; bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, SAC Sazalee Adam; bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, SAC Zulkarnain Samsudin; bekas Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan dan Operasi) Kuala Lumpur, SAC Kamaruzaman Md Alib serta bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, SAC Haslah Bachok.

Susulan pertukaran jawatan, Basri dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan JSJ Bukit Aman, manakala Sazalee menggalas tanggungjawab sebagai Ketua JSJ Kuala Lumpur.

Zulkarnain pula dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor, Kamaruzaman sebagai Penolong Pengarah E1A Cawangan Khas Bukit Aman, sementara Haslah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Majlis berkenaan disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Menurut Fadil, kenaikan pangkat itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi dan dedikasi pegawai terbabit, malah membawa amanah lebih besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, profesionalisme dan keikhlasan.

“Majlis ini juga mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam Polis Diraja Malaysia.

“Pertukaran jawatan merupakan satu proses penting bagi memastikan organisasi terus berkembang dengan idea, pengalaman dan pendekatan baharu, tanpa menjejaskan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Majlis sama turut menyaksikan ACP Kee Hang Kee dilantik sebagai Ketua JSJN Kuala Lumpur, manakala ACP Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button