BERITA SEMASA

Buruh ladang dicekup miliki senapang angin, samurai dan syabu

MUKAH – Seorang buruh ladang kelapa sawit ditahan polis selepas didapati memiliki selaras senapang angin, sebilah pedang samurai dan dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Mukah-Selangau, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu diberkas kira-kira pukul 8 pagi hasil risikan dan maklumat yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 0.46 gram yang disimpan di dalam kotak rokok jenama Era dalam sebuah beg silang miliknya.

“Pemeriksaan lanjut di bilik suspek turut menemukan selaras senjata api dipercayai jenis senapang angin, sebilah pedang samurai sepanjang 79 sentimeter, 80 biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru serta sebotol penyembur plastik lutsinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua barang rampasan bersama suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen; Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah; serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menyalahgunakan dadah.

Muhamad berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga 9 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Beliau menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah serta pemilikan senjata api dan senjata berbahaya demi memastikan keselamatan awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah diminta menghubungi Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau menyalurkannya ke balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button