Nelayan tempatan langgar syarat lesen, ditahan Maritim Malaysia
LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan yang beroperasi di kawasan larangan dan menggajikan kru warga asing tanpa kelulusan sah.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, vesel itu dikesan 6.8 batu nautika barat daya Pulau Buloh dan didapati melanggar syarat lesen perikanan.
“Hasil pemeriksaan mendapati empat kru warga Myanmar yang berada di atas vesel tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan serta tidak mendapat kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan untuk bekerja di atas vesel tempatan.
“Semua kru bersama vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen serta menggaji warga asing tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam operasi berasingan yang dijalankan di perairan Pulau Talang, pihak Maritim merampas sebanyak 80 set bubu naga yang digunakan secara haram di kawasan berkenaan.
“Bubu naga bukan sahaja dilarang penggunaannya, malah ia turut memberi kesan buruk terhadap ekosistem laut. Ia berisiko tinggi merosakkan habitat marin dan mengancam sumber perikanan jangka panjang,” ujar beliau.
Katanya, pemilikan atau penggunaan peralatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa kepada hukuman denda maksimum RM20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara. Maritim Malaysia komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan demi menjamin keselamatan perairan dan kelestarian sumber laut kita,” tegasnya.
Maritim Malaysia menyeru orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








