Maritim Malaysia gagalkan cubaan bawa keluar 32 PATI Indonesia secara haram
SHAH ALAM – Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya menggagalkan cubaan membawa keluar 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Malaysia melalui laluan laut, awal pagi semalam.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim, Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, pihaknya mengesan sebuah bot kayu yang mencurigakan pada kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, jam 4.15 pagi.
Beliau berkata, vesel berwarna merah dan biru tanpa nombor pendaftaran itu diarah berhenti untuk pemeriksaan namun juragannya enggan mematuhi arahan dan cuba melarikan diri.
“Selepas kira-kira 15 minit aksi kejar-mengejar, bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan oleh pasukan kami.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 32 PATI berada di atas vesel itu terdiri daripada 23 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 24 hingga 60 tahun dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fairusnizam berkata, kesemua PATI adalah warga Indonesia dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua suspek bersama vesel dirampas dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut.” katanya.
Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan rondaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan PATI di perairan negara.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau sebarang kes di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








