Maritim Malaysia tahan bot tunda tanpa lesen di Bintulu
BINTULU – Sebuah bot tunda ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu, kira-kira lima batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, tengah hari tadi selepas gagal mempamerkan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL).
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019, pada pukul 12.10 tengah hari.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda terbabit dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Myanmar berusia 28 tahun dan seorang kru warga India berusia 27 tahun.
Menurut beliau, bot tersebut disyaki melanggar Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 kerana gagal mengemukakan lesen DSL, dan kesalahan itu memperuntukkan hukuman kompaun maksimum sehingga RM5,000.
“Bot tunda bersama dokumen telah ditahan dan dibawa masuk ke Pusat Tahanan Vessel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 yang beroperasi 24 jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








