BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia selamatkan nelayan parah di Pulau Bruit

TANJUNG MANIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan seorang nelayan tempatan yang cedera parah pada tangan kanan dalam insiden di perairan Pulau Bruit, malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, mangsa, Mohd Rafi Abdullah, 26, mengalami kecederaan ketika mengendalikan peralatan winch yang digunakan untuk menarik papan.

“Mangsa dipercayai tersepit di dalam winch berkenaan sekitar pukul 8.30 malam dan mengalami kecederaan parah pada tangan kanan.

“Tekong bot segera menghubungi Zon Maritim Tanjung Manis untuk mendapatkan bantuan,” jelas beliau dalam kenyataan di Facebook agensi itu.

Mahkos berkata, susulan laporan yang diterima pada pukul 9.45 malam, aset Maritim Malaysia, bot PETIR 82 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi MEDEVAC.

“Pemindahan mangsa berjaya dilakukan ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis kira-kira pukul 1.05 pagi.

“Sebaik tiba di jeti, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Manis menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut,” tambahnya.

Menurut beliau, keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan awal.

Maritim Malaysia dalam kenyataan itu turut mengingatkan komuniti maritim, khususnya nelayan, agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button